Sunday, March 25, 2012

Permata Yang Dicari

Suasana Fakulti Perniagaan universiti itu kelihatan agak sibuk pada pagi itu. Kelihatan beberapa orang pelajar sedang bersarapan di kafe. Adriana bersama seorang sahabatnya, Syuhada baru sahaja tamat dari kuliah. Mereka berjalan menuju ke kafe untuk bersarapan kerana sejam lagi mereka perlu menghadiri kuliah untuk subjek ‘Thinking Skill.’ Setelah tiga tahun berada di universiti itu akhirnya Adriana sudah berada di tahun akhir dan semester akhir pengajiannya. Walaupun dia merupakan pelajar dari aliran Sains sebelum ini, namun berkat doa dan kerana minatnya dalam bidang keusahawanan menyebabkan dia berada di universiti itu sehingga hari ini.


“Syu nak makan ape?” tanya Adriana kepada Syuhada.

“Apa kata hari ni kita makan kuih karipap, nampak macam sedap je kuih tu. Panas lagi tu,”balas Syuhada sambil berjalan menuju ke meja kafe yang terletak berhadapan dengan kaunter di kafe.

Selesai bersarapan pada pagi itu, mereka berdua berjalan ke dewan kuliah di Blok A untuk menghadiri kuliah yang seterusnya. Setengah jam lagi kuliah akan bermula. Kelihatan beberapa pelajar sudah memasuki dewan kuliah A1.
“Syu masuklah dulu dalam dewan, ye. Saya nak pergi jumpa pensyarah sekejap. Saya ada benda nak tanya pasal projek tahun akhir saya.” Tiba-tiba Adriana bersuara sambil tergesa-gesa menuju ke blok bilik pensyarah.
“Cepat sikit, Yana. Setengah jam lagi kelas akan bermula.” Balas Syuhada mengingatkan Adriana.

Adriana, berjalan berseorangan menuju ke bilik pensyarah yang merangkap ‘supervisor’ untuk projek tahun akhirnya, Puan Amina. Namun begitu, Adriana berasa agak hampa kerana Puan Amina tiada di biliknya. Sedang dia berjalan menuju ke dewan kuliah, tiba-tiba dia terdengar ada orang memberi salam. Dia menoleh untuk melihat pemilik suara itu.

“Assalamualaikum, Adriana sorang je ke?” Tegur Hafiz pelajar dari kos ‘Business Communication’ fakulti yang sama dengan Adriana. Hafiz merupakan seorang pelajar tahun akhir yang dikenali sejak mereka sama-sama menyertai satu bengkel kepimpinan ketika di semester satu. Semenjak semester satu lagi Hafiz sudah tertarik untuk mengenali Adriana namun gadis itu sangat sukar di dekati. Hafiz berjalan beriringan dengan Adriana.
“Waalaikumussalam, ye aku sorang.” Balas Adriana acuh tak acuh. Dia ingin cepat ke dewan kuliah kerana berasa tidak selesa untuk berbual-bual dengan Hafiz.
“Adriana, kenapa kau ni sombong sangat dengan aku? Dari sem satu sampai la dah akhir sem tak berubah. Bila jumpa aku mesti kau mengelak dan buat-buat tak nampak.”tanya Hafiz perlahan.

‘Kau takkan faham Hafiz kenapa aku buat macam ni. Kau baik sangat, tapi aku tak boleh rapat dengan kau. Aku takut akan jatuh cinta kepada kau sedangkan ini bukan masanya. Aku takut satu hari nanti aku akan melanggar prinsip aku sendiri. Antara kita sebenarnya ada jarak yang sangat jauh. Maafkan aku Hafiz, aku hanya akan berkawan baik dengan seseorang yang halal bagiku, dan saat ini insan itu bukan dirimu.’

“Maaflah, Hafiz aku nak cepat ni, kelas dah nak mula. Aku pergi dulu. Assalamualaikum.” Adriana tergesa-gesa meninggalkan Hafiz yang masih ingin berbual dengannya.
Setibanya di kelas, Adriana terus duduk di sebelah sahabatnya Syuhada. Ketika itu kuliah belum lagi bermula.
“Yana, dah jumpa Puan Amina?” Tanya Syuhada kepada Adriana.
“Belum lagi, dia tak de di biliknya.”
“Habis kenapa lambat?”
“Saya terjumpa Hafiz. Dia berbual dengan saya,”balas Adriana perlahan. Pasti akan ada bebelan percuma dari sahabatnya nanti.
“Yana, tak bolehkah awak buka pintu hati awak tu? Hafiz ikhlas nak kawan dengan awak dari semester satu lagi. Lagipun saya dapat rasa yang dia sukakan awak.”
Adriana hanya tersenyum mendengar kata-kata dari sahabatnya itu. Dia sudah penat untuk memberi alasan kepada sahabatnya yang seorang itu.

‘Bukan aku tidak mahu membuka hatiku wahai sahabatku. Namun mungkin masanya belum tiba dan mungkin juga bukan dengan dia. Aku tak mahu berkawan hanya untuk perkara yang sia-sia dan aku tidak mahu membazirkan perasaanku dengan insan yang belum halal bagiku. Apa guna aku berkawan dengan seorang lelaki yang belum halal bagiku tanpa tujuan sedangkan di akhir nanti aku dimiliki oleh seseorang yang menyayangiku kerana Allah. Ruang hatiku hanya untuk yang halal. Kerana hati ini milik yang Maha Esa. Semoga satu hari nanti Dia akan mempertemukan aku dengan seseorang yang lebih berhak untuk bertakhta di hati ini. Maafkan aku kerana aku juga manusia biasa yang tidak sempurna kadang-kala tidak mampu untuk memenuhi segala hajat insan lain. Tidak berani untuk berjanji dan tidak berani untuk mengotakannya. Sekadar menunaikan apa yang termampu. Biarlah orang kata aku sombong atau apa yang pasti aku akan bertahan dengan prinsipku ini hanya kerana Allah. Insya Allah.’

“Syu, Hafiz tu baik sangat. Tapi ada insan lain yang sangat sayangkan dia. Saya tak nak insan yang sayangkan dia tu terluka sebab saya. Lagipun hati saya tak terbuka untuk dia.”
“Maksud awak ada orang lain yang sukakan dia? Sape?”
“Ya, ada insan lain yang sukakan dia. Tapi biarlah hanya saya yang tahu siapa orang itu. Saya doakan seseorang itu akan bersama Hafiz satu hari nanti kerana dia ikhlas menyayangi Hafiz dalam diam.”
“Terpulanglah kepada Yana. Syu, tahu Yana ada prinsip Yana dan Syu hormati prinsip Yana. Syu harap satu hari nanti Yana akan bertemu dengan seseorang yang ikhlas menyayangi Yana kerana Allah.”
“Terima kasih, Syu atas doamu. Semoga Allah memperkenankannya, Amiin.”

*****
“Adriana, ada orang tanya nama awak. Boleh tak saya bagitahu?” Pertanyaan dari Insyirah teman sebilik Adriana mengejutkannya. Dia yang sedang leka menyiapkan assignmentnya berhenti sebentar.
“Siapa yang tanya tu? Saya kenal tak?”
“Saya rasa awak kenal dia. Dia adalah mamat yang tegur awak masa di kafe tadi.” Balas Insyirah sambil tersenyum.

Adriana teringat peristiwa yang terjadi kafe sebentar tadi. Ketika itu dia dan Insyirah ingin membayar harga makanan dan dia telah disapa oleh Muhd Ilham, pelajar tahun akhir Business Communication. Sebelum ini Adriana sudah mengenali nama Ilham melalui sahabatnya Insyirah kerana mereka sama-sama pernah terlibat dalam aktiviti universiti. Namun Adriana hanya mengenali nama Ilham sahaja dan tidak pernah bertegur sapa dengannya, tapi entah kenapa sebentar tadi Ilham menyapanya.

“Assalamualaikum, ustazah.” Sapaan dari Ilham itu mengejutkan Adriana, namun dia tidak mengendahkannya kerana menyangka Ilham memanggil orang lain. Lagipun dengan gelaran ustazah yang dipanggil Ilham itu agak janggal bagi Adriana. Namun ketika berjalan pulang Insyirah menceritakan bahawa Ilham ingin menegur Adriana tetapi dia bimbang Adriana tidak mempedulikannya.
“Kenapa pulak dia nak tahu nama saya?”
“Adriana, saya rasa dia minat kat awak. Dia beria-ia tanya saya pasal awak, dah tu panggil awak ustazah lagi tu. Dia kata awak ni ada ciri-ciri seorang ustazah, lepas tu dia pesan suruh rajin-rajin pergi kafe sebab dia nak tegur awak lagi.”

Adriana, tidak terkata apa-apa mendengar jawapan Insyirah itu. Dia tak punya jawapan untuk semua ini melainkan satu soalan, 'kenapa aku yang ingin dikenalinya? Saat hati belum bersedia. Mungkin ini satu ujian buatku sejauh mana aku bertahan dengan prinsipku. Ya Allah, bantulah aku untuk melalui semua ini. Amiin, Ya Allah.'

*****
Hadirnya tanpa kusedari
Menggamit kasih cinta bersemi
Hadir cinta insan padaku ini
Anugerah kurniaan Ilahi

Lembut tutur bicaranya
Menarik hatiku untuk mendekatinya
Kesopanannya memikat di hati
Mendamaikan jiwaku yang resah ini

Ya Allah
Jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku
Dengan ketentuan-Mu

Dialah permata yang dicari
Selama ini baru kutemui
Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan kumiliki
Tidak sekali dinodai nafsu
Akan kubatasi dengan syariat-Mu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuan-Mu

Ya Allah
Engkaulah tempat ku bergantung harapanku
Kuharap diriku sentiasa di bawah rahmat-Mu..

Irama lagu “Permata Yang Dicari” yang berkumandang di radio IKIM.FM itu mengingatkan Ilham kepada seseorang yang bernama Adriana. Sudah dua minggu dia mengenali Adriana melalui nama, namun dia tidak pernah berbual dengan Adriana kerana gadis itu sangat sukar didekati. Bagi Ilham, Adriana seorang gadis yang istimewa. Dia seorang gadis yang pemalu. Sudah beberapa kali dia bertembung dengan Adriana dan memanggil nama Adriana namun tiada jawapan. Adriana hanya tunduk dan diam sambil berlalu pergi. Perlukah aku berputus asa? Bisik hati Ilham. Jauh di sudut hatinya, dia ingin mengenali gadis bernama Adriana itu. Sudah lama dia ingin mengenali gadis itu, namun tidak berpeluang hinggalah tiba semester akhir ini. Dia teringat perbualannya dengan Insyirah, teman sebilik Adriana beberapa hari lepas.

“Insyirah, mana kawan kau, Adriana? Kenapa ye dia tak pernah nak beri respon bila aku tegur dia?”
“Oh, Adriana ada kelas sekarang. Aku rasa kau takkan dapat bercakap dengan dia pun, Ilham.”
“Beberapa hari lepas aku panggil dia tapi dia tak beri respon langsung. Dia tunduk dengan muka merahnya dan dia pergi macam tu je. Tapi aku takkan berputus asa.”
“Terpulang kepada kau. Tapi aku cuma nak kau tahu dia bukan macam perempuan lain yang selalu kau kenal. Tolong jangan main-mainkan dia.”

‘Ya, mungkin aku tak layak untuk Adriana. Bagai langit dan bumi. Dia seorang gadis yang lembut, namun ketegasannya masih terserlah. Itu yang membuat dia begitu istimewa bagiku. Sudah lama aku ingin mengenali dia, namun tidak pernah punya peluang. Lalu, mungkinkah aku harus melupakan dia?’ bisik hati Ilham.
*****
Hujan lebat pada petang itu membuatkan Adriana terpaksa berhenti berteduh di Kompleks Siswa ketika dalam perjalanan pulang ke kolej kediaman hari itu. Kelihatan beberapa orang pelajar turut berteduh di kompleks tersebut. Petang itu Adriana tidak ditemani sahabatnya, Syuhada yang telah pulang lebih awal darinya. Ketika sedang Adriana asyik memerhatikan air hujan yang turun di hadapannya tiba-tiba dia terdengar namanya dipanggil.

“Assalamualaikum, Adriana.” Suara yang agak asing baginya. Dia memalingkan wajah ke arah pemilik suara itu. Ilham kini berada di hadapannya. Seseorang yang paling Adriana elakkan untuk berjumpa di fakulti itu. Hari ini dia tidak dapat lari lagi dari Ilham.
“Waalaikumussalam,” Adriana membalas pendek.
“Susah ye nak jumpa ustazah ni. Kenapa selalu mengelak dari saya?”
“Sebab saya tak da sebab untuk mendekati awak.” Balas Adriana yang agak janggal untuk berbual dengan Ilham ketika itu.
“Tapi kita boleh jadi kawan kan?” tanya Ilham sambil tersenyum.
“Kawan? Mungkin kot. Tapi tak da sebab juga saya nak jadi kawan awak kan. Lagipun awak bukan rakan sekelas saya atau apa-apa.”
“Baiklah, saya faham maksud awak. Tapi saya boleh lamar awak kan?” Ilham cuba bergurau dengan Adriana. Dia cuba memancing perhatian gadis itu. Adriana berasa sangat malu dengan pertanyaan Ilham itu.
“Lamar? Okeylah, hujan dah berhenti ni, saya minta diri dulu, assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,” Ilham menjawab salam Adriana yang masih mengelak untuk berbual dengan Ilham. Namun Ilham berasa gembira kerana dapat juga berbual dengan Adriana walaupun perbualan yang pendek. Insya Allah akan ku buktikan keikhlasan cinta ini, Adriana.

*****
Yang ditakut bukan jatuh cinta, tapi jatuh pada orang yang salah,
Yang ditakut bukan kerna tidak mampu memiliki, tetapi takut bila kehilangan,
Yang ditakut bukan berjauhan, tetapi jarak kita dengan Allah renggang,
Yang ditakut bukan kita menangis keseorangan, tetapi bila kita bahagia tanpa ketenangan,
Bila bertemu hal perasaan, selesaikannya gunakan hati, tapi jangan terus ketepikan akal, juga kehendak Pencipta kerna kita bertaraf hamba.

-Ya Allah seandainya dia tercipta untukku temukan kami dalam redhaMu. Amiin, Ya Allah. -

Hari itu merupakan hari konvokesyen Adriana dan sahabat-sahabatnya termasuk Muhd Ilham. Ketika sedang sibuk bergambar bersama sahabat-sahabatnya, Adriana disapa oleh Insyirah teman sebiliknya. Insyirah yang menyerahkan sekeping sampul surat bersaiz sederhana daripada Ilham. Adriana membuka sampul tersebut dan membacanya.

Assalamualaikum, Adriana..

Tahniah, saya ucapkan kepada awak kerana berjaya menamatkan pengajian awak. Alhamdulillah. Saya bertuah kerana dapat mengenali seorang insan bernama Nur Adriana Binti Ahmad walaupun hanya dapat mengenali ketika berada di semester akhir.
Saya sedar antara saya dan awak sangat jauh bezanya, ibarat langit dan bumi. Namun saya ikhlas menyayangi  awak. Takdir Allah menentukan saya bertemu dengan awak di sini dan awak telah menyedarkan saya bahawa ada cinta yang lebih utama dalam hidup kita iaitu Cinta Allah.
Mungkin awak belum bersedia untuk menerima sesiapa dalam hidup awak. Namun insya Allah andai takdir hidup bersama pasti kita akan bertemu lagi.
Andai takdir itu terjadi, saya berharap awak sudi menerima saya seadanya.
Mungkin saya bukan suami yang sempurna untuk awak, tapi saya akan berusaha menjadi suami yang terbaik.
Saya takkan berjanji untuk cinta awak sepenuh hati saya, sebab saya nak letak Allah penuh-penuh dalam hati ini dan baru awak.
Saya takkan berjanji untuk takkan buat awak menangis, tapi bila saya ada, saya akan cuba seka setiap air mata yang menitis semampu saya.
Saya takkan beri harapan untuk bersama awak selama-lamanya, sebab suatu hari saya akan pergi juga.
Sesungguhnya tiada jaminan atas setiap perkara yang berlaku. Hidup kita umpama pensel. Pasti ada yang memegang hidup kita, iaitu Allah. Jangan berharap pada hidup. Tapi berharaplah pada Allah S.W.T. Dan satu perkara yang saya pasti, saya nak jumpa awak kat syurga nanti...^_^

Biar cinta sampai syurga, Muhd Ilham.

Adriana, tersenyum saat membaca bait-bait tulisan Ilham. Mungkinkah dia insan yang Allah kirimkan untukku? Sungguh aku tak punya jawapan itu. Segalanya masih rahsia Allah. Semoga istikharah akan memberi jawapan untukku. Allah itu Maha Adil. DIA dengan penuh kasih sayang memberikan apa yang kita perlukan dalam hidup ini. Bukan apa yang kita mahukan. Tidak diberikan intan yang kita idamkan, namun dihadiahkan permata indah berkat kesabaran kita. Insya Allah.


Bismillah...


Ya Allah,
ampunilah segala dosanya,
peliharalah seluruh anggota keluarganya,
berkatilah seluruh kehidupannya,
sejahterakanlah tubuh badannya,
terimalah segala ibadah dan perjuangannya,
dan tuntunilah setiap langkahnya,


Ya Allah,
walau ku tidak tahu siapa gerangannya,
inginku titipkan sedikit harapan untuknya,
jadikan dia seorang yang mencintaiMu lebih dari segalanya,
seorang penyambung perjuangan rasulMu yang setia,
seorang anak yang menghormati kedua orang tuanya.


Ya Allah,
peliharalah ikhtilat dan hatinya,
jauhkan segala gangguan yang merosakkanya
agar dia menjadi hambaMu yang bertambah kesolehannya
Hanya engkau sebaik-baik pemelihara,


Ya Allah,
kelak, izinkan aku sebagai 'Qurratul ain' terbaik untuknya,
dan satu-satunya sayap kiri buatnya...


Amiin ya Allah...Amiin..

No comments:

Post a Comment