Tuesday, February 21, 2012

~ Mencari Cinta Yang Sempurna ~ (CERPEN)

Amani, malam ni ada solat hajat berjemaah di masjid, marilah kita pergi sama-sama dengan akak ye," kata Kak Khairiyah ketika mereka sedang berjalan pulang menuju ke asrama petang itu. Kuliah Biologi baru sahaja tamat sebentar tadi. Takdir Allah telah membuatkan Amani berdiri sebagai seorang pelajar jurusan Sains Hayat di kolej matrikulasi itu. Ini bukanlah impian Amani, namun takdir inilah yang mengubah hidupnya. Takdir inilah yang menyedarkan Amani  tentang makna kehidupan dan yang terutama tentang cinta yang paling sempurna iaitu cinta Allah yang Amani cari selama ini.

“Baiklah kak. Nanti Amani singgah ke bilik akak dulu sebelum kita pergi ke masjid ye,”balas Amani sambil tersenyum.

Amani bersiap awal petang itu. Selesai mandi dan solat Asar dia terus pergi ke bilik Kak Khairiyah. Ketika itu jam menunjukkan angka 6.30 petang.

Assalamualaikum, kak Khairiyah,”Amani memberi salam ketika melihat kelibat Kak Khairiyah yang sedang berdiri di luar biliknya.

Waalaikumussalam, Amani. Masuklah dulu. Akak nak pergi bilik sebelah sebentar, nak jumpa kawan akak sekejap, ye,”balas Kak Khairiyah sambil tersenyum.

Ketika sedang menunggu Kak Khairiyah, Amani duduk sebentar di meja belajar Kak Khairiyah. Di situ tersusun kemas beberapa buah buku rujukan, nota dan buku motivasi Islamik. Di papan kenyataan dilekatkan beberapa nota kecil dan formula tertentu. Beberapa kata-kata motivasi dan semangat juga dilekatkan di papan kenyataan tersebut. Kata-kata yang tertulis pada kertas berwarna ungu muda begitu menarik perhatian Amani.

Berikanlah hatimu untuk ALLAH, pasti ALLAH temukan padamu pemilik yang terbaik.. Sungguh, ALLAH itu lebih mengetahui isi hatimu..biar DIA menentukannya..pasti suatu hari nanti DIA akan temukanmu dengan seseorang yang lebih berhak dan insya-ALLAH insan itu menghargai kehadiranmu. Allah knows better… Put your trust in ALLAH S.W.T.

Kenangan lalu bermain di fikiran Amani apabila terbaca kata-kata tersebut. Pertemuan itu tidak pernah terduga. Ketika itu Amani masih berada di alam sekolah menengah. Hanya utusan salam dari seorang jejaka bernama Haiqal yang membuat Amani tertarik untuk mengetahui siapakah jejaka itu.  Ketika itu Amani belum mengenal apa itu cinta dan couple. Akhirnya, perhubungan selama sebulan membuat Amani sedar tidak semua cinta akan berakhir dengan kebahagiaan seandainya tidak diredhai Allah. Adakalanya terdetik di hati Amani mengenai hubungannya dengan Haiqal. Dia sendiri tidak pasti dengan perasaannya sendiri ketika itu. Sungguh cinta itu bukan pilihan Amani. Namun, syaitan dan nafsu telah mengaburkan mata hatinya untuk membuat pilihan. Dia telah menidakkan suara hatinya demi mencapai kebahagiaan yang sementara. Dia kembali teringat kepada impiannya satu ketika dahulu iaitu membina sebuah cinta yang diredhai Allah S.W.T. Dia mahu cinta yang dibina kelak kepada yang Maha Menyintai kerana cinta itu pasti membawa bahagia yang hakiki. Benarlah kata orang cinta manusia itu hanya sementara, namun cinta Allah itu cinta yang abadi.

Amani, apa yang dimenungkan tu? Jom, kita ke masjid sekarang,” sapaan dari Kak Khairiyah mengejutkan Amani.

Maaflah kak. Saya tak perasan tadi. Saya begitu tertarik dengan kata-kata di papan kenyataan ni,”balas Amani.

Oh, kata-kata itu kebanyakannya akak ambil dari novel atau buku-buku motivasi. Akak suka kumpul kata-kata motivasi yang berkaitan dengan kehidupan kita, kadang-kadang bila baca kata-kata itu sedikit sebanyak dapat memberi semangat kepada akak,”terang Kak Khairiyah.
Mereka terus berjalan beriringan menuju ke masjid.

Kak, saya nak tanya pendapat kak boleh? Berkawan dengan lelaki ni salah ke?

Beginilah Amani, seperti yang diketahui kita dah selalu sangat diberi pendedahan mengenai hal ini baik di kampus, media, internet dan sebagainya, betul tak? Cuma bila dah terjadi pada kita macam mana nak kawal itu yang susah.

Betul sangat-sangat. Kadang-kadang kita tahu salah tapi tak mampu untuk mengelak,” Amani menjawab soalan Kak Khairiyah.

Emm, akak baru saja dengar ceramah baru-baru ini. Ada orang bertanya apa hukum bercouple? Ustazah jawab harus. Percaya tak?

Sebabnya?

Kerana asal penetapan hukum dalam Islam setiap perkara tu adalah harus. Setiap perkara di dunia ini asal hukum adalah harus tapi yang boleh jadi haram, sunat, wajib dan sebagainya tu tengok pada keadaannya. Dalam konteks berkawan berlainan jantina ni kena tengoklah apa tujuannya, kalau untuk urusan harian, contoh muamalah, pelajaran, hukumnya harus. Kalau saja-saja apa justifikasinya? Kenapa? Susah dik nak jaga hati. Di sinilah pentingnya mujahadah yang bermaksud berjuang melawan nafsu. Tapi, inilah ujian di masa usia muda ni. Sebelum kahwin Allah bagi ujian melawan nafsu, itu pun kita rasa berat, nanti lepas kahwin ujian lagi berganda-ganda berat dik. Bukan diri kita sorang je nak fikir. Kalau ujian ini pun rasa tak berdaya, apatah lagi ujian masa dah berumah tangga nanti. Wallahua’lam.

Memang betul kata kak, kadang-kadang tertewas juga, kadang-kadang rasa sedih juga bila jadi macam ni.

Tak apelah dik. Apa-apa yang kita rasa bersalah, tak senang hati, tak boleh tidur, kita takut orang lain tahu perbuatan kita tu insyaAllah dosalah namanya. Mungkin Amani boleh rujuk pada yang lebih faqih, usahakan kefahaman tu insyaAllah. Ingatlah dik, walaupun tak ada orang sayang, cinta, rindu dan jaga kita tapi Allah ada dekat dihati kita, mengasihi kita, tetap tunggu kita, memerhatikan kita dan Allah ada sentiasa temankan kita. Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya.. Hanya Allah yang boleh memegangnya.. Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.. Sebab kita nak Dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila Dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah. Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti.

Insya-Allah...terima kasih banyak-banyak kak... Adakalanya kita terlalu mudah untuk menyintai manusia yang kadang-kadang langsung tidak menyintai kita tetapi terlalu payah untuk kita mencintai Pemilik Cinta Abadi yang sentiasa mendamba cinta setiap dari hamba-Nya.

"Okey, dik. Sama-sama kasih.. insyaAllah. Jangan sedih-sedih ya. Allah ada nak teman. Lagi sedih sangat kalau kita hampakan ibubapa kan. Apalah sangat perasaan kita tu dengan pengorbanan ibubapa. Akak pesan pada diri akak juga."

“Ye....betul kata kak tu.. insyaAllah, kak. Jadi jangan jadikan masalah tu sebagai perkara yang menganggu pelajaran kita, kan kak?,” Amani menambah lagi sambil dengan penuh semangat.

 Iye..betul.

Ok...thanks lagi kak ye.

Welcome, adikku.

*                     *                  *

Kini sudah tiga bulan Amani berada di kolej matrikulasi iu. Hubungannya dengan Kak Khairiyah juga semakin rapat. Jika ada kelapangan mereka selalu pergi ke pusat sumber bersama-sama untuk mengulangkaji pelajaran.  

Akak, saya ada perkara nak tanya pendapat akak sikit. Apa pendapat akak tentang cinta Islamik? Tanya Amani pada suatu petang.
Adik, perasaan cinta tu fitrah. Terpulang kepada kita untuk memelihara rasa cinta itu sebaik mungkin jika ia belum halal untuk kita, bukannya menjadikan agama sebagai landasan bagi menghalalkan cinta sebelum perkahwinan yang sudah terang-terangan haram dalam Islam. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Cuba adik renungi firman Allah S.W.T Surah (Al-Israa': 32) "Dan janganlah kalian mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk." Dalam hidup ni kita tak boleh jamin yang iman kita sentiasa menaik, adakalanya iman kita juga akan menurun. Bolehkah kita jamin yang iman kita akan menaik bila kita mendekati zina? Bercinta atau lebih tepat ber'couple' sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah adalah landasan utama yang akan mendekatkan diri kita dengan zina. Bermula dengan perasaan sayang yang konon-konon berlandaskan agama, secara automatik perasaan rindu akan terbit. Rindu ini akan membelenggu minda dan menjadikan kita alpa. Dan andai percintaan ini berjaya berakhir dengan pernikahan yang sah sekalipun ia terbina atas dasar maksiat. Kesannya? Nauzubillah! Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala-galanya, dik.
Habis tu kak, macam mana kita nak hindari diri kita dari cinta yang belum halal ni?

Adikku, memang susah nak membuang cinta yang belum halal, terutama bila kita dah terjebak dan perkara ni telah menjadi kebiasaan bagi kita. Sebab tu jangan sengaja nak cuba-cuba kalau kita belum besedia untuk bernikah, sebab bila dah bercinta, apatah lagi cinta yang melanggar syarak, sangat susah nak kikis rasa cinta tu kecuali untuk orang-orang yang Allah berikan kekuatan sebab syaitan akan cuba sedaya upaya untuk mengindahkan percintaan itu dan cuba untuk menyucuk hati kita agar menyetujui perbuatan yang kita buat itu. Bukan salah cinta itu hadir dalam diri setiap manusia.  Tetapi salah manusia yang tidak pandai, tidak cekap menguruskan perasaan cinta yang hadir.   Lagipun, setiap rasa cinta yang hadir sehingga kita mengetepikan soal halal dan haram itu tidak lebih sekadar cinta yang berajakan nafsu.  Oleh itu, akak nasihatkan adik kenal dan cintailah Allah. Semuanya bergantung pada diri kita sendiri dik, selalulah membaca Al-Quran, berzikir, melakukan ibadah sunat dan banyakkanlah berdoa agar diberi kekuatan oleh Allah.

Terima kasih banyak kak atas nasihat itu. Insya-Allah saya akan ingat nasihat akak. Semoga Allah mempermudahkan segalanya kak.

"Insya-Allah adikku. Kuatlah dalam mujahadah ini. Janganlah hiraukan pandangan orang jika adik melakukan sesuatu demi menggapai redha Allah. Apalah sangat pandangan manusia jika dibandingkan penilaian Allah. Ingatlah dik, kalau kita sukakan seseorang mohonlah petunjuk dari Allah. Kita dan orang yang kita suka milik Allah, biarlah Allah yang menentukannya. Biarlah Allah yang menjaga dia sebab kita tidak mampu menjaga dia sebaik Allah, maka kita serahkan kepada Allah, agar kita dan dia tidak pula diserahkan kepada kelalaian semata-mata. Insya-Allah bila tiba waktu yang sesuai kita akan dipertemukan dengan dia. Yang penting kita selalu berdoa, dan jika jodoh kita bukan dengan dia pasti ada yang terbaik untuk kita."

Kata-kata Kak Khairiyah itu benar-benar menyedarkan Amani. Keputusan Amani untuk meninggalkan cinta yang belum halal suatu ketika dahulu adalah keputusan yang tepat. Ketika itu dia tekad untuk menghantar e-mail terakhir untuk Haiqal. Dia sedar sebagai hamba Allah dia mesti berusaha untuk mencari keredhaan-Nya yang adakalanya menuntut pengorbanan. Walaupun pahit untuk Amani melakukannya, namun Amani yakin bahawa Allah tidak akan mensia-siakan pengorbanan hamba-Nya. Insya-Allah. Amani teringat firman Allah di dalam Surah An-Nur:
"dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." (Al-Nur 24 :26).

Assalamualaikum,
 Mencintai tidak semestinya memiliki. Cinta itu anugerah dari Allah kerana Allah kita bertemu, dan Allah jugalah yang mengurniakan perasaan itu. Hakikatnya itu semua pinjaman, kita hanya hamba-Nya. Apabila ditakdirkan cinta itu Allah ambil kembali kita perlu redha siapa kita untuk mempersoalkannya. Sebaliknya renunglah kembali adakah kita bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan selama ini, adakah kita patuh pada perintah-Nya dan menjauhi larangan Allah selama ini. Mungkin apa yang terjadi ini adalah satu peringatan kepada kita. Tak perlulah kita bersedih, ingatlah Allah bersama kita, ada hikmah-Nya apa yang terjadi ini. ALLAH mahu kita sedar, mungkin selama ini kita terleka.

Maafkan saya sekiranya saya telah membuat awak sedih, semoga awak dapat mencari diri awak yang sebenar. Cukuplah sampai di sini saya mengenali awak. Harapan saya selepas ini agar awak bijak memilih jalan hidup awak demi menggapai redha Allah, carilah seseorang yang boleh membawa awak ke jalan yang mendekatkan awak dengan-Nya. Saya hanya hamba Allah yang banyak kelemahannya. Saya tidak boleh membahagiakan semua orang tapi ingatlah hanya Allah yang bisa membahagiakan setiap manusia, maafkan semua salah silap saya. Semoga awak bertemu dengan insan yang lebih baik dari saya. Terima kasih atas segala kebaikan yang awak lakukan kepada saya, semoga Allah membalasnya.

Cukuplah kisah cinta itu berakhir di situ. Harapan Amani agar Haiqal dapat menerima keputusannya. Kini, barulah Amani sedar yang dia telah terleka selama ini. Benarlah sabda Rasulullah membawa maksud, "Sesungguhnya cinta itu buta." Cinta itu mampu membutakan mata dan hati seseorang dalam membezakan perkara yg hak dan batil, jika seseorang meletakkan cinta itu atas dasar nafsu semata-mata dan bukan kerana Allah S.W.T.

*                     *                  *

WARKAH BUAT HAWA...

HAWA , andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibubapamu, andai engkau sudah bersuami, jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau masih ibu, didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din ALLAH...

HAWA, andai engkau belum berkahwin, janganlah kau risau jodohmu, ingatlah janji Tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrimmu, kerana aku khuatir dari mata jatuh ke hati, maka lahirnya senyuman maka tercetusnya salam sekaligus disusuli dengan pertemuan, takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri...

HAWA, lelaki yang baik tidak melihat pada paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keayuannya, lelaki yang warak, tidak menilai wanita melalui kemanjaannya serta kemampuannya mengoncang iman lelaki, tetapi, lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya, dan yang paling penting pegangan agamanya. Lelaki yang baik juga tidak menginginkan pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya, kerana dia takut memberi kesempatan kepada syaitan untuk menggodanya, lelaki yang warak juga, tidak mahu bermain cinta kerana dia tahu apa matlamat dalam sebuah pertemuan lelaki dan wanita, yakni sebuah perkahwinan.

Oleh itu HAWA, jagalah pandanganmu, awasilah auratmu, peliharalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai ditakdirkan tiada cinta daripada Adam untukmu, cukuplah hanya cinta ALLAH, yang memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu, biarlah hanya cinta daripada kedua ibu bapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar cinta adik beradik, serta keluarga yang membahagiakan dirimu.

HAWA, cintailah ALLAH dikala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai ALLAH. Cintailah kedua ibu bapamu kerana kau akan perolehi keredhaan ALLAH, cintailah keluargamu kerana kau tidak akan jumpa cinta yang bahagia selain daripada cinta keluarga. Insya-Allah. Janganlah sesekali tangan yang mengoncangkan dunia, juga mengoncangkan iman lelaki. Wallahua’lam. TUNDUKKAN PANDANGANMU… WASSALAM WBT…

Bait kata-kata yang di lekatkan di bahagian ruangan ilmu dalam masjid Al-Maghfirah itu dibaca Amani berulang kali.

Hakikatnya, perjalanan mencari cinta Illahi ini banyak cabarannya dan aku diuji dengan cinta manusia, tapi bila cinta manusia buat aku terluka, barulah aku tersedar yang cinta manusia bukanlah yang terbaik saat ini. Tiada lagi air mata untuk aku menangisi perpisahan itu kerana aku lebih mengerti tentang hakikat cinta yang sempurna, iaitu Cinta Allah S.W.T. Atas kasih sayang Tuhan aku dan dia bertemu dan atas limpahan kasihNya jua aku dan dia dipisahkan bersama hikmah yang tersembunyi, insyaAllah. Apa yang berlaku ini mengajarku bahawa jangan berharap kepada manusia, tetapi berharaplah kepada Allah. 


Ya Allah, tabahkanlah hatiku dalam mujahadah ini. Allahumma aminn,’  doa Amani di dalam hati.

Malam itu Amani menulis diarinya. Ada sesuatu yang ingin dicoretkannya. Begitu banyak peristiwa yang terjadi telah mengajarnya erti cinta sebenar.

‘The only relationship where you’ll never have your heart broken is the relationship between you and Allah.’

Kini aku sedar tiada cinta yang lebih bahagia selain dari cinta Allah. Ya, mungkin aku pernah sukakan dia dulu, tapi kini rasa itu takkn sama lagi. Rasa itu tak mungkin kembali dalam hidupku. Sekiranya kasih sayang itu ada ianya cuma sebagai saudara seagama, bukanlah seseorang yang istimewa. Aku ingin menyerahkan hati ini pada Rabb ku. Biar Dia yang menjaganya hingga tiba masa Dia menghalalkan hati ini untuk berkongsi cinta dengan dia yang dipilihNya.

Sesungguhnya, CINTA kepada manusia ITU BENAR-BENAR indah andai ia dipimpin ke jalan yang benar-benar diredhai Allah. Semoga cinta NurAmani Safiyya yang utama hanya untuk ALLAH, selepas itu Rasullullah,  selepas itu insan-insan yang halal dicintai. Dan yang pasti dia berusaha utk memelihara cintanya demi menggapai redha Allah. Dia hanya menyintai insan yang Halal baginya. Insya-ALLAH.

Cinta itu bukanlah kata murah dan lumrah dituturkan dari mulut ke mulut tetapi cinta adalah anugerah Tuhan yang indah dan suci jika manusia dapat menilai kesuciannya.

Ya Allah, bantulah aku untuk terus berubah mencari redhaMu. Tiada yang lebih indah daripada mendapat redhaMu. Seindah apapun kenikmatan dunia, jika Engkau tidak meredhainya, tentulah ia hanyalah sia-sia. Ya Allah, biarlah seluruh dunia membenciku, tetapi Engkau mencintaiku Ya Allah..

*                     *                  *

Petang itu selepas tamat kuliah Kimia Amani menuju ke pusat sumber. Dia bercadang ingin membaca buku motivasi Islamik yang terdapat di situ.  Masih dia ingat pesanan Kak Khairiyah malam semalam ketika pulang dari masjid selepas solat berjemaah. ‘Sesiapa yg inginkan kebaikan, maka Allah akan memudahkan jalan-jalan baginya ke arah itu. Insya-Allah. Yang penting dirimu memiliki azam, usaha dan istiqamah. Jangan biarkan sesiapa mengeksploitasikan dirimu untuk kepentingan tertentu kerana dirimu adalah harapan ummah.” Buku bertajuk “Kenapa Allah Murka” menjadi pilihan Amani petang itu. Dia memilih ruang bacaan yang sesuai, yang terletak berhampiran rak buku-buku motivasi. Dia terus menyelak helaian buku tersebut. Dia begitu tertarik dengan isi helaian yang dibacanya pada waktu itu.

EMPAT SYARAT UNTUK MELAKUKAN MAKSIAT

Suatu hari ada seorang lelaki menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak ! selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.” Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima 4 syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat.” Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya “Apakah syarat-syarat itu wahai Aba Ishak?”. Ibrahim bin Adham berkata……..

Syarat pertama
“Jika kamu mahu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya.” Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, “Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?” “Ya”! tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?”

Syarat kedua
“Yang kedua”kata Ibrahim. “kalau kamu mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumiNya ! syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, “wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya sedangkan kamu melanggar segala laranganNya?”. “Ya, anda benar” kata lelaki itu.

Syarat ketiga
Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, “kalau kamu masih mahu bermaksiat, cari lah tempat tersembunyi yang tidak dapat dilihat olehNya!”. Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”. “Ya, kalau kamu yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.
Syarat keempat

Ibrahim melanjutkan. “Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakan kepadanya. “ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh”. Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”
“Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari daripada kemurkaan Allah.”

Ada titisan air mata yang gugur tatkala Amani mengenangkan kesilapannya di masa lalu.
‘Allahurabbi, begitu banyak sekali kesilapanku selama ini. Aku ingin berubah menjadi baik, meskipun aku tidak bisa memadamkan kesalahan-kesalahan yang lalu. Ya ALLAH, jangan biarkan hatiku tertambat pada cinta yang belum tentu menjadi milikku. Tenangkanku yang terbuai akan cinta, sucikan hatiku yang terbelenggu oleh nafsu dan bersihkan batinku yang ternoda oleh angan dan harap. Ya Allah, leraikanlah dunia yang hinggap di dalam hatiku, kerana di situ aku tak mampu mengumpul dua cinta. Hanya cintaMu, Ya Allah, yang ku harap tumbuh. Allahumma Amiin,’ doa Amani di dalam hatinya.

*                     *                  *

Hari itu merupakan hari terakhir Amani berada di kolej matrikulasi itu. Setelah setahun berada di situ akhirnya Amani berjaya menamatkan pelajarannya bersama salah satu pengajaran yang amat bernilai dalam hidupnya, iaitu mengenal erti cinta yang sempurna. Sebelum pulang Amani berjumpa dengan Kak Khairiyah. Selepas bersalaman Amani menyerahkan sekeping kad kepada Kak Khairiyah. Di dalam kad itu tercoret bait kata-kata :

..Cinta itu indah..
Cinta itu anugerah Allah..
Cinta juga pemusnah...
Bercinta tidak semestinya memiliki..
Berkasih tidak bererti disayangi.. .
Jadi apakah sebenarnya cinta?
Cinta sempurna adalah cinta kepadaNya..
Tidak layu, tidak tua dan kekal selamanya..
Dan sesungguhnya bahagia itu bukan sepertimana yang orang nampak,
tetapi sebagaimana yang kita rasa...

Jazakillah Khairan Kathira.
Menyayangimu kerana Allah : NurAmani Saffiya.

Amani pulang bersama satu pengajaran yang amat bernilai. Di hatinya tersemat satu azam yang tinggi. Jalan perjuangan itu, tidak mungkin dia tinggalkan sekali lagi hanya kerana cinta yang tidak diredhai Allah. Dalam perjalanan pulang itu, Amani menerima satu mesej dari Kak Khairiyah.

Adikku yang disayangi, perasaan CINTA yang lahir terhadap seseorang bukanlah tanda kita memilikinya. Namun kadang-kadang ia muncul sebagai ujian dariNya buat kita, kerana Dia ingin melihat bagaimana kita memelihara, mengawal dan menguruskannya. Perasaan cinta itu amanah, dan amanah itu pasti akan dihisab oleh Allah. Kita jangan selalu mengharap , kerana mengharap tidak pasti tertunai. Tetapi kita boleh bersabar , kerana kesabaran itu mengajar kita erti kehidupan. Allah selitkan kemanisan dalam setiap perkara yang berlaku. Jadi senyumlah, walau di uji. Innallahama'ana..~

Alhamdulillah Ya Allah, atas pertemuan ini.

"Ya Allah, izinkan air mataku mengalir kerana mencintaiMu. Sungguh daku dambakan cinta yang hakiki kepadaMu . Namun apalah dayaku manusia yang jahil dan lemah. Tanpa izinMu, daku tidak mampu untuk mencintaiMu, apatah lagi menitiskan air mata keranaMu"..Amiin...Ya Robbal A’lamin. 




Wallahua'lam..

No comments:

Post a Comment